Ceritera Cinta

Saturday, 28 June 2014

Kembara India (Bangalore - Davangere - Agra - New Delhi)

India - Negara Penuh Mimpi

                                                Kredit foto : Ariyatna Adri's iPhone

Apabila saya diberitahu oleh sang suami, Tuan Nazir Azhari, bahawa kami akan menghadiri majlis graduasi adiknya, Habibah Hanum, saya tertanya-tanya di manakah Davangere? 

Saya selalu mendengar cerita daripada Adik Hanum, setelah tiba di Lapangan Terbang Bengaluru, dia perlu menaiki kereta sewa selama 6 jam untuk sampai ke Davangere. Jauhnya perjalanan adik Hanum dari lapangan terbang ke tempat pengajian! 

Dengan jemputan ke majlis itu, Tuan Nazir Azhari mula memikir dan mengatur, ke mana destinasi selepas selesai menghadiri majlis graduasi itu nanti.

Bagi suami, seorang fotografer. India umpama menu Raya. Manusia, budaya dan jalanan, semuanya adalah saripati untuk disalin dan diluah kembali oleh alat perakam cahaya.

Bagi saya yang puitis. Ia adalah sebuah negara yang dipenuhi manusia yang penuh mimpi dan impian. 

Di sebalik wajah yang kasar, baju yang kotor dan jalan berdebu, ia menyimpan berjuta impian penghuninya. Filem hindi adalah wajah impian itu. 

Oh, beginilah saya suka menulis. Saya sang puitis.


Persiapan Kembara India
                                           Kredit foto : Nazir Azhari

Apabila suami saya memberitahu, selepas majlis graduasi, kami akan meneruskan perjalanan ke Agra dengan menaiki kereta api sejauh 2000 km, mulut saya melongo. 

Fikiran saya terus terbayang kereta api yang sumbat penumpang!

Saya membuat persiapan mental dengan menonton filem-filem Hindustan yang mempunyai latar berkisarkan kereta api seperti Jab We Met dan Chennai Express. Orang kata, practice make perfect. Imaginasi kembara itu memangnya nombor 1.




Tips Kembara No 1
  • Persiapan sebelum memulakan perjalanan adalah imaginasi tentang perjalanan itu.
  • Imaginasi yang dituliskan dan dirangka akan jadi pelan rancangan. 
  • Cubalah! Ia menjadi asas pemilihan penginapan, pengangkutan dan bagaimana menikmatinya.

Terbang (Kuala Lumpur - Bangalore)
                                                   Kredit foto : Nazir Azhari's iPhones

19 Mac 2014  (Hari 1)

Saya bersama-sama suami dan seorang fotografer yang juga sahabat suami, Tuan Roshailan terbang ke Bangalore selama 6 jam. Perasaan gementar dalam penerbangan kerana ketika itu negara baru digemparkan dengan kehilangan pesawat MH370. 30,000 kaki atas Lautan Hindi, manusia adalah makhluk kerdil atas dunia dan kembara selalunya mengingatkan kita.

Alhamdulillah, adik Hanum sudah menunggu apabila kami tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Bangalore. Kawan-kawannya juga sedang menunggu ahli keluarga masing-masing yang menaiki pesawat yang sama. 


Bermalam di Bangalore

Oleh kerana kami tiba pada tengah malam, adik Hanum telah menempah bilik di Hotel Empire International - Church Street untuk kami berehat satu malam. Hotel ini 27.5 km daripada lapangan terbang. Kami tidak kisah dengan pilihan hotel oleh adik Hanum, pagi esok baru kami sedar mengapa hotel ini memang best. 

20 Mac 2014 (Hari 2)

Awal pagi esoknya, saya ditanya oleh Hanum, "nak dosa?"

"Dosa tu apa?" Saya terkulat-kulat tak faham.

"Dosa selalunya dimakan waktu sarapan. Sedap!" Hanum memberitahu dengan ceria.  

"La...rupanya."

Dosa itu Thosai. Barulah tahu. 

Dan pagi itu baru sedar, hotel ini juga adalah Restoran Briyani Empire. Sarapan bagi adalah termasuk dengan pakej menginap. Kami ada pilihan sarapan sama ada western atau tempatan.

Saya memilih citarasa tempatan. 

Terkagum-kagum dengan dosa yang enak. Mestilah. Ini negara asal-usulnya. 

                                                    Kredit foto : Ariyatna Adri's Iphone 

Di luar, jam 8 pagi sudah terang, jalan raya masih lengang. Penduduk juga belum berpusu-pusu keluar ke tempat kerja. Kedai hanya akan dibuka pada jam 10.00 ke 11.00 pagi. 

Tuan Nazir Azhari dan Tuan Roshailan pula telah keluar di awal pagi. Membiasakan diri dengan suasana tempatan. Mengasah mata. Mencari gambar. 
                                              Kredit Foto : Nazir Azhari

Pintu Restoran Hotel Empire International. 

                                               Kredit foto : Ariyatna Adri's iPhone

Di India, nama Hotel juga digunakan untuk bisnes restoran tanpa menyediakan khidmat penginapan. Jadi, jangan terkejut apabila walk-in hotel untuk bermalam tetapi tak ada bilik langsung untuk ditempah. Ia cuma hotel yang jual makanan. 

Tak tahu mengapa di sini restoran dinamakan hotel. 

Tips Kembara No 2
  • Tempat menginap sebaiknya dalam kawasan mudah akses dengan berjalan kaki / auto / tren ke kedai makan, bazaar dan lokasi pelancongan. 
  • Jika kita menggunakan perkhidmatan tempahan melalui website, pastikan sanggup membaca ratusan review dan teliti peta kawasan hotel berada. 

Memahami Budaya Setempat

"Walaikum assalam, dearest sister! Masha'Allah, happy to hear about your trip to India. The train experience will be tiring but interesting. We try to get the air-conditioned seats so that I can draw the curtains and let down my hijab for a while. The trip is too long! Try to make new friends while you are traveling

India can be overwhelming at times - too much noise, pollution, crowd, etc. But try to immerse yourself in the colors, culture and food" ~ Nadia Masood


Itu pesanan Nadia Masood, seorang travel blogger yang berasal dari Karachi dan kini menetap di UAE. 

Saya akui, bukan mudah hendak memahami budaya dan perangai manusia di negara orang. Kita mudah membuat penilaian dan perbandingan dengan tanah air sendiri. Tak mengapa , itu juga normal. Tetapi, tidak baik pula bercakap dengan tujuan merendahkan-rendahkan. Kembara akan hilang nilainya. Hilang rohnya. Lost in spirit.  

Baik...baik...deep pula. 

Sementara menunggu mereka memburu street photo di awal pagi, saya membaca surat khabar tempatan. Kisah kehilangan MH370 dipaparkan di beberapa muka surat. Namun tak menjadi berita utama kerana demam Pilihanraya sedang melanda. Surat khabar penuh dengan segmen calon pilihanraya bersama maklumat harta kekayaan masing-masing. 

Jika lihat di jalanan, kita tidak mudah perasan Pilihanraya Umum bakal berlangsung. Tiada bendera parti berpacak-pacak. Tiada poster bergantung-gantung. 

Promosi calon parti dipasang di billboard dan iklan tv. Kelas sungguh. Unsur-unsur bollywood sudah menyerap dalam kempen politik India. 

Tips Kembara No 3
  • Latih diri mudah menerima budaya, makanan dan keadaan sekitar.
  • Baca blog kembara orang lain ke tempat yang bakal kita lawati. Saya membaca blog Nadia Masood dan bertanya sendiri dengannya tip-tip kembara ke India. 


Bangalore, Commercial Street Market

Adik Hanum membawa kami bersiar-siar di Kotaraya Bengaluru. Kami bergerak ke Bangalore Commercial Street. Ini pengalaman pertama saya menaiki auto. Seronok campur takut. 

Kredit foto : Nazir Azhari

Kredit foto : Ariyatna Adri's Iphone 

Kredit foto : Ariyatna Adri's Iphone 

Bangalore Commercial Street adalah kawasan yang penuh deretan kedai yang menjual pelbagai jenis barangan. Ia syurga gadis membeli-belah. Bagi lelaki, boleh jadi satu penderaan apabila diminta menemani dari satu kedai ke satu kedai. Kecuali mereka itu pelancong dengan kamera di tangan. Kuat semangat dan mata meliar mencari bahan. 

                                                   Kredit foto :Ariyatna Adri's Iphone 

                                                            Kredit foto : Nazir Azhari

                                                     Kredit foto : Ariyatna Adri's Iphone 

Kami bertambah kuat semangat dan ceria setelah dapat menjamah vege zinger burger dan ayam panggang KFC. Paling ceria kepada perut sang fotografer yang cepat lapar kerana bersarapan menu western di hotel. Roti dan scrambled egg tak cukup untuk pemburu street photo. Ini merujuk kepada kes Tuan Nazir Azhari. 

Kami dipesan untuk tidak masuk McDonald oleh adik Hanum kerana di India menunya tidak halal.


 
      Kredit foto : Ariyatna Adri's Iphone 


                                                      Kredit foto : Ariyatna Adri's Iphone 

Tips Kembara No 4
  • Kenalpasti kedai makanan halal atau vegetarian.
  • Bertanya dengan kenalan yang pernah kembara, membuat carian makanan halal di internet dan baca blog muslim yang pernah mengembara ke tempat yang sama. Blog Nadia Masood memperkenalkan Karim's di New Delhi.

Kedai Acar (Pickle)

Pickle mangga. Bahan asasnya adalah buah mempelam dan rempah. Baunya boleh membayangkan campuran rasa pedas, masam dan masin.

Tidak! Saya tidak cuba rasa. Sakit perut baru tau!


                                           Kredit foto : Ariyatna Adri's Iphone 

Orang tempatan rata-ratanya mesra. 

                                                    Kredit foto : Ariyatna Adri's Iphone 


Kedai Sari



Sari adalah cenderahati yang berbaloi dibeli. 

Saya suka sari yang sesuai dibuat baju kurung atau kebaya. Adik Hanum membawa kami ke kedai keturunan India Muslim yang menjual kain sari yang dimaksudkan.

Bagi kedai ala butik, harga sari boleh mencecah ribuan ringgit. Sesuai dipakai heroin bollywood dalam majlis award yang glamorous. 


Melawat Istana Sultan Tipu, Old Bangalore


                                                            Kredit foto : Nazir Azhari

Bagus ada Tuan Roshailan yang juga kaki kembara, yang membawa salinan buku lonely planet. Kami sepakat melawat tempat bersejarah dan tarikan pelancong iaitu Istana  Musim Panas Sultan Tipu. 

Saya tak tipu. Memang namanya Tipu.

Untuk ke Istana Sultan Tipu, kami perlu menaiki auto kerana jaraknya 5.4 km daripada hotel. 

Semasa mencari auto, perlu ada kemahiran berdebat secara berhemah dengan pemandu Auto. Mujurlah ada Adik Hanum dan inilah kali pertama saya mendengar Bahasa Kannada.

"Veda! Veda!" Hanum menolak desakan pemandu auto supaya pergi ke kedai-kedai yang dipromosikan mereka. Pemandu auto akan dapat komisen jika berjaya bawa kami ke kedai-kedai itu.

Kami perlu membayar lebih sedikit kerana memilih untuk tidak singgah kedai panel mereka. 

Kami menaiki dua auto yang berasingan. Suami saya bersama rakannya. Saya bersama adik Hanum. Pemandu auto kami saling bersaing dan bergurau dalam trafik yang sesak.

Pak cik auto ini yang manis senyuman ini juga bertanya, mengapa Adik Hanum boleh bercakap bahasa tempatan. Sempat juga dia berbual kerana ingin tahu asal mana dan belajar di mana.


 Kredit foto : Nazir Azhari

                                                       Kredit foto : Ariyatna Adri's Iphone 


 Kredit foto : Nazir Azhari

Senibina Istana Musim Panas Sultan Tipu

Lekuk-lekuk berwarna emas dan tiang-tiang tinggi. Lekuk-lekuk itu memantulkan cahaya ke dalam ruang istana yang gelap. Istana musim panas ini tidak mempunyai banyak bilik.  Bilik utama sudah dijadikan ruang pameran sejarah.

                                                           Kredit foto : Ariyatna Adri

Sultan Tipu adalah Raja Kerajaan Mysore pada kurun ke-18. 

Istana ini dibina oleh Hyder Ali dan siap dibina semasa pemerintahan anaknya, iaitu Sultan Tipu. Sultan ini dikagumi kerana tentangannya terhadap British. Dengan kematian Sultan Tipu, peperangan itu dimenangi pihak British. Istana ini kemudiannya diambil alih oleh pihak British dan dijadikan pejabat pentadbiran. Kini, ia antara monumen sejarah yang diselenggara oleh Muzium dan dibuka kepada pelawat. 

Hiasan siling dan dinding yang sudah pudar warna dan masih terserlah keindahannya.

                                                           Kredit foto : Ariyatna Adri

Kredit foto : Nazir Azhari

                                                            Kredit foto : Nazir Azhari

Tips Kembara No 5
  • Senaraikan tourist spot atau lokasi bersejarah yang berhampiran, pastikan lawat setidaknya-tidaknya dua tempat.
  • Jika masa terhad, pilih destinasi yang mempunyai nilai gambar yang tinggi.

Apabila keluar daripada Istana Sultan Tipu, kami mencari auto untuk pulang ke hotel. Pemandu auto di hadapan pusat pelancongan itu berkeras mahu membawa kami ke kedai-kedai yang wajib disinggah kerana menaiki auto miliknya.

Kami malas melayan kedegilannya dan kami juga ikut sama degil, lalu berjalan kaki. 

Di tepi-tepi jalan, saya menemui penjual sayur yang membawa sayuran dengan kereta sorong. Sayurnya segar-segar belaka.  Saya pantang nampak sayur fresh! 

"Sangka kau macam pergi Cameron Highland ke apa?" Saya memarahi diri sendiri kerana ada hati hendak membeli beet root yang segar tu. 

Mujur tak buat perangai ala David Rocco dolce India yang bawa dapur sendiri dan masak atas meja penjual sayur. 


                                                         Kredit foto : Ariyatna Adri

Kredit foto : Ariyatna Adri

Berjalan dan berjalan sehingga sampai di hadapan Minto Eye Hospital. Akhirnya dapat auto yang sanggup bawa kami berempat sehingga ke simpang yang hampir dengan MG Road. Pemandu ini mengecaj ikut bacaan meter dan hanya tahu geleng. 

Dia tidak mahu menghantar kami terus sehingga ke hotel. Dari air muka dan lenggok geleng kepalanya, saya mengagak kerana kami berempat berhimpit dalam satu auto. Had penumpang 3 orang dan boleh di saman polis. 

Jangan main-main polis di sini. Birokrasinya ke atas pelancong tidaklah kami tahu. Lebih elok tidak cari pasal. Resmi mengembara ke negara orang. Ibarat peribahasa Melayu, Masuk ke dalam kandang kambing mengembik, masuk ke dalam kandang kerbau menguak.

Cabarannya...bagaimana mengenal geleng bermaksud 'ya' dan geleng 'tidak'?

Lihat air muka dan mata!    

Tips Kembara No 6
  • Peka dan tajamkan deria untuk meningkatkan tahap keselamatan diri. Pin memori bagi nama jalan dan bangunan.
  • Jika sesat, berhenti dan bertanya jalan. 


Jalan-jalan Cari Buku Terpakai di Bandar Bangalore

Seterusnya kami berjalan kaki ke Mahatma Ghandi Road (MG). Jalan besar 4 lorong itu berdekatan dengan Stesen Metro. 

Kredit foto : Nazir Azhari

Pani Puri atau Puri saiz kecil boleh ditemui dijual ditepi MG Road.

                                                           Kredit foto : Ariyatna Adri

Penjual cermin mata ditepi MG Road. Orang muda mesti mau bergaya.

Kredit foto : Nazir Azhari

Kesibukan Kota Bangalore. Mereka bermula lambat di waktu pagi tetapi sibuk di waktu tengah hari dan petang. 

Kredit foto : Nazir Azhari

Di antara gerai buku terpakai di MG Road. Satu buku dijual bermula daripada Rp70 atau RM4. 
                                                        Kredit foto : Ariyatna Adri

Saya kemudiannya menemui sebuah kedai buku terpakai di MG Road. Di situ saya hanya membeli sebuah kerana mengingatkan diri sendiri sebagai flashpacker, beg tarik saiz sederhana tak cukup ruang. 

Buku Great Indians ini saya pilih kerana mengandungi perjalanan kisah 20 tokoh utama dalam sejarah negara India. Set combo begini, jarang-jarang boleh jumpa! 

                                                   Kredit foto : Ariyatna Adri's iPhone

Dalam perjalanan itu, Tuan Nazir Azhari merakamkan foto seorang wanita yang sedang mengikat sejambak ros merah yang cantik dan segar. Hanya sejambak dan ikatannya kemas. Wanita itu cepat saja berlalu selepas dapat mengemaskan ikatan jambak ros merah itu. 

                                                             Kredit foto : Nazir Azhari

Hari semakin gelap dan kami memilih untuk makan di Restoran Indijoe Sizzlers. Restoran ni betul-betul di sebelah Hotel Empire.

Indijoe Sizzlers
6/3, Kalpak Arcade,Church Street
Bengaluru, Karnataka



Grilled King Fish Steak, habuan setelah seharian berjalan. 


                                                              Kredit foto : Nazir Azhari


Cerita satu hari di Bangalore. Fuh! Berpeluh.



Perjalanan Dari Bangalore ke Davangere

21 Mac 2014 (Hari 3)

Selepas makan tengah hari di Restoran Briyani Empire Hotel, kami pun bertolak menaiki kereta sewa menuju ke Davangere. 

6 jam yang dirasakan teramat lama. 

Dan juga hon...hon...hon...kenapa mereka ini dengan hon?

Hon itu untuk memberitahu kenderaan hadapan, mereka akan memotong. Oleh itu, tak henti-henti pemandu kereta sewa membunyikan hon. 

Sepanjang perjalanan, sebahagian besar pemandangan adalah tanah kosong dan bukit berbatu. Ada juga kawasan subur yang ditanam pokok pisang dan pinang.


                                         Kredit foto : Ariyatna Adri's iPhone


Tiba di Davangere, hari sudah gelap dan perut berkeroncong.  

Hari yang memenatkan dan mendatangkan lapar. Ini dia, menu makan malam di warung berhadapan asrama pelajar perempuan. Saya tidak ingat nama asli kedai ini. Tetapi pelajar Malaysia memanggilnya Kedai Cabang. 


                                                   Kredit foto : Ariyatna Adri's iPhone

Mak Cik pemilik warung ini pemurah. Bukan saja dengan senyum, tetapi juga dengan capati. Apa taknya, habis saja capati dalam pinggan saya, tiba-tiba, dia hantar pula sepinggan capati manis. Percuma katanya.

Dia gembira ahli keluarga pelajar Malaysia datang makan di warungnya. Ahkak terharu!

                                               Kredit foto : Ariyatna Adri's iPhone


Sambungan akan datang ~


Cerita di Davangere, Karnataka ( Majlis Graduasi JJCM Medical School) 


                                                           Kredit foto : Ariyatna Adri

Majlis Graduasi Adik Hanum. Yeay!!! 

Di Davangere, kami pakat untuk tak menaiki auto. Pemandu auto di sini mengecaj harga lebih tinggi kepada pelajar luar.

Monday, 17 March 2014

Kembara Abuja Nigeria


September 2006. 

Kembara ke Abuja, Nigeria adalah kembara rasmi jabatan. Kedengaran aneh pula apabila dikatakan kembara rasmi. Saya ketika ini bertugas sebagai urus setia delegasi Persatuan Parlimen Komanwel Negeri Selangor (Commonwealth Parliamentary Association) di mana setiap negeri di dalam Persekutuan Malaysia adalah ahli. 

Ibu pejabat CPA di London akan menganjurkan Persidangan CPA setiap tahun dengan kerjasama negara anggota. Setiap negara anggota Komanwel akan merasa menjadi tuan rumah secara bergilir. Pada tahun 2008, Kuala Lumpur menjadi tuan rumah untuk CPA ke-54. Paling pendek perjalanannya.




Penerbangan ke Nigeria memang meletihkan. KL - Dubai - Lagos - Abuja mengambil masa 26 jam. Apabila tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Lagos, delegasi dibawa menaiki van dengan diiringi kereta sekuriti ke lapangan terbang domestik yang masih dalam bandar Lagos. 


Cara delegasi mendapat tiket penerbangan domestik nampak simple. Tiada boarding pass, staf kaunter cuma tulis dengan pen saja nombor tempat duduk kami. Namun dalam hati merasakan pasti akan wujud situasi haru-biru. Apabila tiba masa untuk boarding, kakitangan penerbangan domestik agak keliru dengan kehadiran kami. Nasib kami baik, diberi naik, kalau tak diberi, mungkin delegasi menjadi gelandangan di lapangan terbang. 

Mendarat di lapangan terbang Abuja, hati menjadi lega. Akhirnya sampai di destinasi Persidangan CPA Nigeria. Lapangan terbang Abuja agak tua dan kecil. Apabila hati teruja sampai destinasi, tangan pantas mencapai kamera bagi merakam suasana. Tiba-tiba seorang sekuriti menyergah dan hendak merampas kamera. Dia bertanya dengan nada tinggi, "are you reporter?"  

Saya tergamam, "no! no!"

Cepat-cepat saya dibantu oleh pegawai Pejabat Perwakilan Malaysia (High Commision), "No! She's not a reporter. Delegation from Malaysia."  

"No picture!" Dia berkeras. 

Saya terus menyimpan kamera dan pegawai sekuriti itu berundur.  Lega kerana kamera tidak dirampas. Namun disebabkan itu, saya tidak berani snap walau satu gambar curi pun. Aduhai. Kembara, hari pertama jejak kaki di Afrika. Mak, saya dah sampai Afrika! 


Hari Persidangan

Forum dalam Persidangan CPA membincangkan pelbagai tajuk. Saya hadir forum berkaitan kebajikan wanita dan HIV Aids. Isu yang agak taboo dalam masyarakat Afrika khususnya. Wakil delegasi Malaysia membentangkan tentang langkah Kerajaan Malaysia mewajibkan ujian HIV sebelum berkahwin. Ada delegasi negara Komanwel lain yang tidak bersetuju kerana hak asasi individu. Bagi wakil delegasi negara Afrika, perkara itu sukar dilaksanakan kerana tidak dapat memaksa terutama ke atas kaum lelaki membuat pemeriksaan. 




Wakil Malaysia juga membentangkan usaha-usaha sebuah NGO yang disokong oleh Kementerian Pembangunan Wanita bagi membantu anak-anak yang menghidap HIV yang mendapat jangkitan daripada ibu pekerja seks. NGO tersebut menyediakan rumah singgahan kepada anak-anak itu di waktu siang supaya mereka dapat belajar, mengisi perut, tidak merayau dan membimbing mereka agar tidak mewarisi situasi ibu bapa mereka.


Pembentangan wakil Malaysia pada ketika itu menarik minat wakil Afrika untuk belajar dari Malaysia khususnya Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat. 


Di sini saya memahami bahawa pegangan agama, corak budaya, pemikiran dan persekitaran masyarakat amat memberikan kesan dalam penyelesaian isu-isu kebajikan wanita. Juga, kaum lelaki amat menentukan nasib kaum wanita dalam sesebuah masyarakat dan negara. 


Kagum dengan NGO yang disebut-sebut oleh wakil delegasi Malaysia itu. NGO dimaksudkan itu adalah Yayasan Salam yang mengelolakan Rumah Nur Salam di Jalan Chow Kit.


Setiap usaha kecil atau besar pasti menghasilkan atau mengubati sesuatu!  




Makan Minum

Menu sepanjang persidangan? Kami selalu dihidangkan dengan Jolly Rice. Nasi berwarna merah seperti nasi tomato. Menu lainnya kelihatan seperti ikan masak merah, ayam masak kari, pucuk ubi masak lemak, stew kepala lembu dan pisang goreng. Semacam menu masakan melayu. Namun 90 peratus tidak sama. Oh...dan katanya pisang goreng itu adalah lauk.

Hahaha...saya suka sekali dapat makan pisang goreng. Saya memilih menjadi vegetarian, makan 'Jolly Rice' dan pisang goreng. Namun, setiap hari yang paling dikejar apabila balik dari persidangan adalah bekalan roti tortilla dan sambal bilis. 

Oh...sayang sekali tiada gambar menu stew kepala lembu. Memang tengkorak lembu itu satu periuk dihidangan bufet. Yang pasti, peserta persidangan masing-masing tergamam semasa mengambil stew dan hilang selera. Hahaha...

Baru belajar kembara...makan masih memilih-milih. Pengajaran kembara tentang makan, cuba saja menu baru apabila ia halal dan bersih. Biar roti keras dan gravy yang dicicah rasa aneh. Baru namanya pengembara. 


Hari Lawatan 

Setelah beberapa hari terikat dengan jadual seminar/forum, semua peserta persidangan dibawa melihat Nigeria dengan lebih dekat. Kami menaiki bas yang disediakan menuju ke lokasi Pesta Durbar yang diadakan sempena persidangan. 





Disepanjang perjalanan, dapat melihat kehidupan masyarakat Nigeria di pekan-pekan kecil. Antara yang dijual di pasar tepi jalan adalah ubi kayu, jagung dan batang tebu yang sudah disisil kulit. 

Stesen minyak kecil tanpa nama juga boleh dilihat (kelihatan seperti perniagaan runcit namun yang dijual adalah petrol). Kebanyakan stesen kecil itu tidak beroperasi dan ditinggalkan terbengkalai. 

Tempoh 5 jam perjalanan membuatkan saya berfikir bas akan berhenti untuk membenarkan penumpang mencari tandas. Ya, bas berhenti di tepi belukar untuk melepaskan hajat. Pegawai yang mengiringi mempelawa penumpang turun. Saya dan delegasi Malaysia yang lain menolak dengan baik.

Berpuluh-puluh bas negara anggota lain berhenti disepanjang jalan itu, ramai juga yang turun...kami menunggu saja. 




Sampai di Kona, Abuja kami disambut oleh penduduk tempatan yang menunggu acara festival Durbar bermula. Mereka berasak-asak dan merebut peluang untuk menonton perbarisan pelbagai etnik dan budaya. Juga menonton peserta delegasi yang hadir dari pelbagai negara. 


Tegas dan keras tindakan pegawai keselamatan memastikan pengunjung tidak merempuh tetamu luar negara. Mereka akan dipukul dengan belantan jika melepasi tali penghadang yang dipasang pihak berkuasa. Tergamam juga dengan keadaan itu. Tetapi mereka tidak mengganas terhadap pegawai tersebut, mereka mahu   ikut sama menonton perbarisan dengan lebih dekat. Ada juga yang memanjat pokok untuk mendapatkan sudut pandang terbaik.  

Perbarisan Durbar 

Perbarisan ini menghimpunkan pelbagai latar belakang masyarakat Nigeria yang mempunyai pelbagai etnik dan budaya. Mereka memakai pakaian yang mewakili etnik atau wilayah mereka. Ada yang menari, menyanyi, berkuda, berpedang dan membawa binatang kesayangan.









Lelaki ini menghayun dubuk di atas bahunya seperti bola. Kasihan dubuk itu pasti berpinar-pinar, nak buat macam mana, sudah kerjayanya begitu. Jika dia tidak mahu diperlakukan begitu, dia harus lari dari lelaki itu. Once and forever!


Si dubuk tidak boleh bangun. Duduk diam. Masih berpinar-pinar kesan hayunan laju 360 darjah. Run hyena. Run! Selalu melihat dubuk yang tidak berhati perut membaham mangsa, di sini kasihan pula melihat ia jadi bahan pertunjukan.




Saya pula mengambil kesempatan bergambar dengan latar belakang perbarisan yang telah selesai. 




Delegasi berangkat pulang ke kota Abuja dilambai selamat tinggal oleh penduduk tempatan. Mereka tersenyum. Gembira dapat mempamerkan imej budaya Nigeria kepada masyarakat luar.




Gadis-gadis penjual kacang dan ubi rebus melambai gembira dan terus tersenyum apabila kamera dihalakan ke arah mereka.


Gadis-gadis dari serambi rumah ini tersenyum dan melambai selamat tinggal.




Majlis Makan Malam Delegasi Wanita

Delegasi wanita diraikan dalam jamuan makan malam khusus. Malam itu kami dijamu dengan pertunjukan tarian tradisional oleh penari berpakaian warna-warni yang bergelek laju. Penari lelaki yang berpakaian seperti wanita. Nasib baik mereka tidak berniat untuk membuka mana-mana bahagian pakaian. Ini majlis rasmi, pasti yang baik-baik saja berlaku.  




Seterusnya pertunjukan fesyen tempatan. Warna-warna fabrik terang dan garang, wanita Nigeria sememangnya berani bermain warna. Kami semua yang hadir dihadiahkan sepasang pakaian tradisional. Sehingga kini masih menyimpannya dan tidak pernah dipakai. Mungkin jika ada Majlis Makan Malam bertemakan 'Afrika', baru berpeluang mencubanya. Ajaib jika ada majlis makan malam tema 'Afrika'. Simpan sajalah buat kenangan. 




Sebelum majlis malam itu berakhir, tiba-tiba saya didekati oleh seorang lelaki Nigeria yang menghulurkan kad nama. Dia minta hubunginya jika berminat untuk menjadi model. Saya fikir ini adalah scam. Inikan Nigeria...kan...kan...

Berputar mata dan saya buang saja kad nama itu.


Cenderamata 

Mencari ole-ole Nigeria adalah suatu yang adventerous. Jika berani, boleh saja beli beg tangan kulit asli yang masih bersisik keras. Apabila saya dibawa ke pasar kraftangan, saya fikir boleh berlagak macho seperti Indiana Jones. Ah...rupanya saya alah, mungkin kasihan kepada buaya-buaya comel yang menjadi tas tangan. 


Ada juga pilihan cenderamata seperti kain dengan corak warna warni yang mereka hasilkan. Wanita Nigeria bangga dengan pakaian tradisional mereka. 






Nyata pulang dari Nigeria, ole-ole yang paling berharga adalah kenangan dan pengalaman. Walau terus terang saya mengaku bahawa ia bukanlah kembara yang sebenar-benar menguji kerana saya mengikuti persidangan rasmi.

Wajah Nigeria yang sebenar lebih mencabar. Sejarahnya sendiri terbentuk dengan rencam ragam budaya pelbagai suku ras etnik. Ia juga sebuah tanah yang kaya dan luas. Maka ia pernah dijajah bangsa paling bercita-cita tinggi merentas dunia ketika itu. Persekutuan Nigeria juga menjadi ahli Persatuan Negara Komanwel.  




Diizinkan Allah, suatu hari saya akan menjejak bumi Afrika kembali. Mungkin Tanzania atau Kenya.