Ceritera Cinta

Saturday, 17 January 2015

Davangere (Ku cinta manisnya Gulab Jamun)


Davangere adalah kenangan yang manis kerana Bena Dosa (butter thosai adalah keistimewaan Davangere), Aiskrim Ibaco, Nasi Beriani cili, buah delima, jus buah segar Kedai Minum Spandana, falooja, kerepek kentang dan manisan. Dan cinta yang paling menggugah jiwa, si Gulab Jamun. 

Adik-adik yang manis menjadi pemandu pelancong yang budiman. 

Habibah Hanum dan Amirah membawa saya berjalan-jalan di sekitar Davangere yang sederhana namun ada warna-warni tersendiri.

Saya mahu membeli bekal makanan kering dalam perjalanan kereta api nanti. Jadi kami ke kedai kekacang dan manisan bagi membeli kismis. Pelbagai jenis kacang, kurma dan kismis disimpan dalam balang tinggi. 

Taukey kedai ini menimbang dan membungkus setelah saya memilih jenis kismis yang berkenan. 

Baik, taukey timbang ya. Saya mahu berposing untuk bergambar kenangan. Pak cik taukey itu memang tidak hairankan kami. Mukanya keras sepanjang masa. 






Walau pun, muka taukey keras dan masam sepanjang masa. Dia menjual manisan yang boleh membuat gigi cair.        
                     

Di sini adik Hanum dan Amirah membeli Gulab Jamun. Manisan itu berwarna perang dan bulat seperti guli besar. Dibungkus dalam kotak plastik dan air gula panas dituangkan ke atasnya.


Hanum dan Amirah memberikan tips, gulab jamun paling sedap dimakan bersama aiskrim vanilla. 

Saya tak sabar!

Sambung membeli-belah bekalan, saya membeli kerepek kentang. Kerepek kentang digoreng sendiri, ditabur perisa lada hitam dan garam. 

Selain itu, kerepek perisa rempah-rempahan juga ada. 






Berjalan di sekitar Davangere seperti pelajar Malaysia, saya tidak melihat bandar kecil ini dari kaca mata empat segi seorang pelancong. 

Kriket adalah kegilaan anak muda. Permainan ini berlangsung di jalan-jalan celahan rumah kediaman, celah bangunan kedai dan padang tanpa rumput. 


Pasar harĂ­an di bawah panas terik. 



Pemandangan biasa kedai buah-buahan.


Penjual gelang tangan di kaki lima kedai.




Seorang kawan memesan periuk belanga. Saya berikan dia gambar sahaja. Hahaha...saya tahu dia bergurau.



Saya beritahu adik Hanum yang saya mahu membeli cenderahati. Adik Hanum bawa saya kedai di pekan yang agak jauh. 

Kain sari di Davangere warnanya terang-terang belaka. 









Saya mengingat pesan Tuan Nazir Azhari, perjalanan kereta api perlu ringan bagi memudahkan perjalanan. Maka jangan menambah berat. 

Baik. 

Bergaya saja dengan kain-kain sari ini. 

Tetapi saya menambah sedikit berat dengan bekalan manisan Babusingh Thakur Pheda.





Manis-manis belaka kenangan Davangere. 

Paling manis dan menusuk kalbu sehingga saya masukkan kemanisan gulab jamun ini dalam cerpen tulisan saya berjudul Akar. 

Berpusing-pusing adik Hanum dan saya mencari kedai yang menjual jenama aiskrim vanilla vegetarian yang dikatakan paling sedap digandingkan dengan gulab jamun. 

Kedai yang biasa menjual aiskrim vanila itu tutup pula. Kami akhirnya membeli aiskrim aiskrim vanila jenama lain. 

Saya juga membeli buah delima yang merah merekah.

Gulab Jamun, aiskrim vanila dan buah delima siap!

Apabila mencecah ke dalam mulut. 

Cair!

Bukan gulab jamunnya.

Jantung saya yang cair!

Ku cinta manisnya gulab jamun. Citra rasanya ibarat kenangan cinta. 




"Tak mahu. Jangan umpan manisan yang sedap menghantu ni. Diabetis nanti, tahulah." Cinta tidak makan pujuk. Marlina mencebik dan menarik balik pelawaan. ~ Akar (Cermuz - Cerpen Muzikal)










Friday, 16 January 2015

Cabaran Beli Tiket Kereta Api

Indian Railway Catering and Tourism Corporation Limited adalah syarikat milik Kerajaan India melalui Ministry of Railways. Bajet untuk menjalankan operasi Indian Railway dibentangkan dan diluluskan di Parlimen. 

Kereta api adalah pengangkutan utama penduduk tempatan dengan purata seramai 23 juta pengguna setiap hari. Jadi, tiket wajib dibeli awal. Jika tidak, jangan harap dapat menempah tiket kereta api. 

Adik Hanum telah memudahkan kami kerana telah membelikan tiket sebelum kami sampai ke India lagi. 

Namun, kami mengubah jadual perjalanan kerana tidak mahu singgah ke New Delhi dulu, sebaliknya terus ke Agra. Setelah membuat semakan di website Indian Railways, kami perlu berhenti di Jhansi Junction supaya dapat menukar tren ke Agra tanpa singgah New Delhi. 

Dengan tenang dan suka hati kami ke Computerized Reservation Office, Stesen Kereta Api Davangere untuk membeli tiket baru. Rupanya, tidak mudah seperti dijangka. 

    Stesen Kereta Api Davangere



Datang pertama kali, beratur punya beratur dan dapat borang, rupanya kami perlu siap isi borang nama kereta api dan masa yang telah dipilih. Jangan harap petugas kaunter nak bantu pilihkan. Maka, kami ambil banyak borang kosong dan pulang ke bilik hotel.

Di bilik hotel kami dapatkan senarai jadual kereta api dari website dan isi borang dengan beberapa opsyen supaya tidak berpatah balik ke bilik hotel lagi.

( https://www.irctc.co.in/eticketing/loginHome.jsf )

Kembali ke Stesen Kereta Api semula...lalu semula trafik yang huru hara, lalu semula di kawasan babi yang berkubang di celah-celah tempat parking, lalui semula pengalaman dipotong barisan. Hobi sungguh mereka ni, potong barisan memang kemahiran. Tetapi apabila kami mengambil masa kerana banyak bertanya di kaunter, mulut mereka mula bising...macam cicak. 

Tak apa...kami tenang saja. Hahaha...

Akhirnya, dapat tiket baru.






Selepas dapat tiket, kami reward diri sendiri dengan aiskrim ibaco. Sepenuhnya vegetarian. 









Itu baru kisah beli tiket, dan perjalanan ke destinasi adalah pengalaman yang tidak kurang menarik.