September 2006.
Kembara ke Abuja, Nigeria adalah kembara rasmi jabatan. Kedengaran aneh pula apabila dikatakan kembara rasmi. Saya ketika ini bertugas sebagai urus setia delegasi Persatuan Parlimen Komanwel Negeri Selangor (Commonwealth Parliamentary Association) di mana setiap negeri di dalam Persekutuan Malaysia adalah ahli.
Ibu pejabat CPA di London akan menganjurkan Persidangan CPA setiap tahun dengan kerjasama negara anggota. Setiap negara anggota Komanwel akan merasa menjadi tuan rumah secara bergilir. Pada tahun 2008, Kuala Lumpur menjadi tuan rumah untuk CPA ke-54. Paling pendek perjalanannya.
Penerbangan ke Nigeria memang meletihkan. KL - Dubai - Lagos - Abuja mengambil masa 26 jam. Apabila tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Lagos, delegasi dibawa menaiki van dengan diiringi kereta sekuriti ke lapangan terbang domestik yang masih dalam bandar Lagos.
Cara delegasi mendapat tiket penerbangan domestik nampak simple. Tiada boarding pass, staf kaunter cuma tulis dengan pen saja nombor tempat duduk kami. Namun dalam hati merasakan pasti akan wujud situasi haru-biru. Apabila tiba masa untuk boarding, kakitangan penerbangan domestik agak keliru dengan kehadiran kami. Nasib kami baik, diberi naik, kalau tak diberi, mungkin delegasi menjadi gelandangan di lapangan terbang.
Mendarat di lapangan terbang Abuja, hati menjadi lega. Akhirnya sampai di destinasi Persidangan CPA Nigeria. Lapangan terbang Abuja agak tua dan kecil. Apabila hati teruja sampai destinasi, tangan pantas mencapai kamera bagi merakam suasana. Tiba-tiba seorang sekuriti menyergah dan hendak merampas kamera. Dia bertanya dengan nada tinggi, "are you reporter?"
Saya tergamam, "no! no!"
Cepat-cepat saya dibantu oleh pegawai Pejabat Perwakilan Malaysia (High Commision), "No! She's not a reporter. Delegation from Malaysia."
"No picture!" Dia berkeras.
Saya terus menyimpan kamera dan pegawai sekuriti itu berundur. Lega kerana kamera tidak dirampas. Namun disebabkan itu, saya tidak berani snap walau satu gambar curi pun. Aduhai. Kembara, hari pertama jejak kaki di Afrika. Mak, saya dah sampai Afrika!
Hari Persidangan
Hari Persidangan
Forum dalam Persidangan CPA membincangkan pelbagai tajuk. Saya hadir forum berkaitan kebajikan wanita dan HIV Aids. Isu yang agak taboo dalam masyarakat Afrika khususnya. Wakil delegasi Malaysia membentangkan tentang langkah Kerajaan Malaysia mewajibkan ujian HIV sebelum berkahwin. Ada delegasi negara Komanwel lain yang tidak bersetuju kerana hak asasi individu. Bagi wakil delegasi negara Afrika, perkara itu sukar dilaksanakan kerana tidak dapat memaksa terutama ke atas kaum lelaki membuat pemeriksaan.
Wakil Malaysia juga membentangkan usaha-usaha sebuah NGO yang disokong oleh Kementerian Pembangunan Wanita bagi membantu anak-anak yang menghidap HIV yang mendapat jangkitan daripada ibu pekerja seks. NGO tersebut menyediakan rumah singgahan kepada anak-anak itu di waktu siang supaya mereka dapat belajar, mengisi perut, tidak merayau dan membimbing mereka agar tidak mewarisi situasi ibu bapa mereka.
Pembentangan wakil Malaysia pada ketika itu menarik minat wakil Afrika untuk belajar dari Malaysia khususnya Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.
Di sini saya memahami bahawa pegangan agama, corak budaya, pemikiran dan persekitaran masyarakat amat memberikan kesan dalam penyelesaian isu-isu kebajikan wanita. Juga, kaum lelaki amat menentukan nasib kaum wanita dalam sesebuah masyarakat dan negara.
Kagum dengan NGO yang disebut-sebut oleh wakil delegasi Malaysia itu. NGO dimaksudkan itu adalah Yayasan Salam yang mengelolakan Rumah Nur Salam di Jalan Chow Kit.
Setiap usaha kecil atau besar pasti menghasilkan atau mengubati sesuatu!
Makan Minum
Menu sepanjang persidangan? Kami selalu dihidangkan dengan Jolly Rice. Nasi berwarna merah seperti nasi tomato. Menu lainnya kelihatan seperti ikan masak merah, ayam masak kari, pucuk ubi masak lemak, stew kepala lembu dan pisang goreng. Semacam menu masakan melayu. Namun 90 peratus tidak sama. Oh...dan katanya pisang goreng itu adalah lauk.
Hahaha...saya suka sekali dapat makan pisang goreng. Saya memilih menjadi vegetarian, makan 'Jolly Rice' dan pisang goreng. Namun, setiap hari yang paling dikejar apabila balik dari persidangan adalah bekalan roti tortilla dan sambal bilis.
Oh...sayang sekali tiada gambar menu stew kepala lembu. Memang tengkorak lembu itu satu periuk dihidangan bufet. Yang pasti, peserta persidangan masing-masing tergamam semasa mengambil stew dan hilang selera. Hahaha...
Baru belajar kembara...makan masih memilih-milih. Pengajaran kembara tentang makan, cuba saja menu baru apabila ia halal dan bersih. Biar roti keras dan gravy yang dicicah rasa aneh. Baru namanya pengembara.
Hahaha...saya suka sekali dapat makan pisang goreng. Saya memilih menjadi vegetarian, makan 'Jolly Rice' dan pisang goreng. Namun, setiap hari yang paling dikejar apabila balik dari persidangan adalah bekalan roti tortilla dan sambal bilis.
Oh...sayang sekali tiada gambar menu stew kepala lembu. Memang tengkorak lembu itu satu periuk dihidangan bufet. Yang pasti, peserta persidangan masing-masing tergamam semasa mengambil stew dan hilang selera. Hahaha...
Baru belajar kembara...makan masih memilih-milih. Pengajaran kembara tentang makan, cuba saja menu baru apabila ia halal dan bersih. Biar roti keras dan gravy yang dicicah rasa aneh. Baru namanya pengembara.
Setelah beberapa hari terikat dengan jadual seminar/forum, semua peserta persidangan dibawa melihat Nigeria dengan lebih dekat. Kami menaiki bas yang disediakan menuju ke lokasi Pesta Durbar yang diadakan sempena persidangan.
Stesen minyak kecil tanpa nama juga boleh dilihat (kelihatan seperti perniagaan runcit namun yang dijual adalah petrol). Kebanyakan stesen kecil itu tidak beroperasi dan ditinggalkan terbengkalai.
Tempoh 5 jam perjalanan membuatkan saya berfikir bas akan berhenti untuk membenarkan penumpang mencari tandas. Ya, bas berhenti di tepi belukar untuk melepaskan hajat. Pegawai yang mengiringi mempelawa penumpang turun. Saya dan delegasi Malaysia yang lain menolak dengan baik.
Berpuluh-puluh bas negara anggota lain berhenti disepanjang jalan itu, ramai juga yang turun...kami menunggu saja.
Sampai di Kona, Abuja kami disambut oleh penduduk tempatan yang menunggu acara festival Durbar bermula. Mereka berasak-asak dan merebut peluang untuk menonton perbarisan pelbagai etnik dan budaya. Juga menonton peserta delegasi yang hadir dari pelbagai negara.
Tegas dan keras tindakan pegawai keselamatan memastikan pengunjung tidak merempuh tetamu luar negara. Mereka akan dipukul dengan belantan jika melepasi tali penghadang yang dipasang pihak berkuasa. Tergamam juga dengan keadaan itu. Tetapi mereka tidak mengganas terhadap pegawai tersebut, mereka mahu ikut sama menonton perbarisan dengan lebih dekat. Ada juga yang memanjat pokok untuk mendapatkan sudut pandang terbaik.
Perbarisan Durbar
Perbarisan ini menghimpunkan pelbagai latar belakang masyarakat Nigeria yang mempunyai pelbagai etnik dan budaya. Mereka memakai pakaian yang mewakili etnik atau wilayah mereka. Ada yang menari, menyanyi, berkuda, berpedang dan membawa binatang kesayangan.
Lelaki ini menghayun dubuk di atas bahunya seperti bola. Kasihan dubuk itu pasti berpinar-pinar, nak buat macam mana, sudah kerjayanya begitu. Jika dia tidak mahu diperlakukan begitu, dia harus lari dari lelaki itu. Once and forever!
Si dubuk tidak boleh bangun. Duduk diam. Masih berpinar-pinar kesan hayunan laju 360 darjah. Run hyena. Run! Selalu melihat dubuk yang tidak berhati perut membaham mangsa, di sini kasihan pula melihat ia jadi bahan pertunjukan.
Saya pula mengambil kesempatan bergambar dengan latar belakang perbarisan yang telah selesai.
Delegasi berangkat pulang ke kota Abuja dilambai selamat tinggal oleh penduduk tempatan. Mereka tersenyum. Gembira dapat mempamerkan imej budaya Nigeria kepada masyarakat luar.
Gadis-gadis penjual kacang dan ubi rebus melambai gembira dan terus tersenyum apabila kamera dihalakan ke arah mereka.
Gadis-gadis dari serambi rumah ini tersenyum dan melambai selamat tinggal.
Majlis Makan Malam Delegasi Wanita
Delegasi wanita diraikan dalam jamuan makan malam khusus. Malam itu kami dijamu dengan pertunjukan tarian tradisional oleh penari berpakaian warna-warni yang bergelek laju. Penari lelaki yang berpakaian seperti wanita. Nasib baik mereka tidak berniat untuk membuka mana-mana bahagian pakaian. Ini majlis rasmi, pasti yang baik-baik saja berlaku.
Seterusnya pertunjukan fesyen tempatan. Warna-warna fabrik terang dan garang, wanita Nigeria sememangnya berani bermain warna. Kami semua yang hadir dihadiahkan sepasang pakaian tradisional. Sehingga kini masih menyimpannya dan tidak pernah dipakai. Mungkin jika ada Majlis Makan Malam bertemakan 'Afrika', baru berpeluang mencubanya. Ajaib jika ada majlis makan malam tema 'Afrika'. Simpan sajalah buat kenangan.
Sebelum majlis malam itu berakhir, tiba-tiba saya didekati oleh seorang lelaki Nigeria yang menghulurkan kad nama. Dia minta hubunginya jika berminat untuk menjadi model. Saya fikir ini adalah scam. Inikan Nigeria...kan...kan...
Berputar mata dan saya buang saja kad nama itu.
Cenderamata
Mencari ole-ole Nigeria adalah suatu yang adventerous. Jika berani, boleh saja beli beg tangan kulit asli yang masih bersisik keras. Apabila saya dibawa ke pasar kraftangan, saya fikir boleh berlagak macho seperti Indiana Jones. Ah...rupanya saya alah, mungkin kasihan kepada buaya-buaya comel yang menjadi tas tangan.
Ada juga pilihan cenderamata seperti kain dengan corak warna warni yang mereka hasilkan. Wanita Nigeria bangga dengan pakaian tradisional mereka.
Nyata pulang dari Nigeria, ole-ole yang paling berharga adalah kenangan dan pengalaman. Walau terus terang saya mengaku bahawa ia bukanlah kembara yang sebenar-benar menguji kerana saya mengikuti persidangan rasmi.
Wajah Nigeria yang sebenar lebih mencabar. Sejarahnya sendiri terbentuk dengan rencam ragam budaya pelbagai suku ras etnik. Ia juga sebuah tanah yang kaya dan luas. Maka ia pernah dijajah bangsa paling bercita-cita tinggi merentas dunia ketika itu. Persekutuan Nigeria juga menjadi ahli Persatuan Negara Komanwel.
Diizinkan Allah, suatu hari saya akan menjejak bumi Afrika kembali. Mungkin Tanzania atau Kenya.
